|
Tiba-tiba datang beberapa orang dengan menaiki bas. Mereka semuanya tegap-tegap belaka sebaik sahaja turun dari bas. Ketuanya berada di hadapan sekali ketika berjalan menuju ke halaman rumah Cikgu. Sambil berjalan, ketua itu memberi salam dan ramai juga yang datang kepadanya bersalam dengan kedua belah tangan sambil menundukkan kepala. Begitulah adat dan adab yang terjaga asalkan tidak menyimpang dari ajaran agama. Memang ketuanya itu yang paling gagah di antara mereka semua. Dengan badan yang tegap dan berotot seperti lagak seorang pahlawan yang digeruni oleh lain, dia melangkah cuba menghampiri pintu rumah Cikgu kerana perjalanannya agak perlahan disebabkan kesesakan orang. Walaupun gayanya seperti pahlawan, tetapi di dalam hatiku tetap mengatakan ketua itu tidak dapat juga menyaingi Cikguku yang sudah tua dan kurus sahaja itu. Bagiku, seorang pahlawan mungkin tidak dapat mengalahkan kependekaran Cikguku kerana seorang pendekar lebih pendek akal untuk mengsingkatkan tindakannya dan lebih panjang akal untuk tindakan selanjutnya. Cikguku lebih kepetangan kependekarannya berbanding ketua tersebut. Aku tersenyum sendiri berfikiran begitu. Sampai sahaja di muka pintu, semua yg berada di dalam rumah memberi laluan kepada ketua tersebut untuk masuk dan menuju terus ke Cikguku. Dia bersalam dan mencium tangan Cikguku. Selepas itu, dia menunjukkan sebilah keris dan badik sambil bertanya, "Tok kenal keris dan badik ini kepunyaan siapa?". Cikgu mengamati dengan teliti keris dan badik tersebut dan terkejut sambil bertanya, "Dari mana kau dapat senjata-senjata ini?". Ketua tersebut menjawab, "Daripada datuk sebelah ibu saya. Namanya Syed Zainal Al-Attas. Dia yang memberi tanggungjawab menjaga senjata-senjata ini kepada saya sebelum dia meninggal dunia". Cikgu langsung menangis dan bertahlil sambil bangun menuju ke pokok yang rendang di depan rumah. Dihentaknya pokok tersebut dengan tangan lalu jatuh air-air embun dari daun-daunnya dan terus mengambil air sembahyang. Cikgu kembali duduk di sebelah ketua tersebut dan memberitahu, "Datukmu bersamaku dulu mudik bersama-sama ke Hulu Tembeling. Semasa mudik tersebut, kami telah diserang. Aku terus berlari ke hadapan sambil membawa anakku yang kecil. Peluru semuanya bersimpang-siur di belakangku tetapi aku bersyukur kerana tidak satu pun peluru yang hinggap di badan. Selepas itu, aku serahkan anakku itu kepada penduduk tempatan yang sanggup menjaganya di Terengganu. Aku terlalu sedih untuk berpisah dengannya. Aku selalu berdoa agar pada satu hari nanti aku akan dapat bertemu jua dengannya". Cikgu pun tersenyum sambil menjeling kepada anaknya yang bernama Omar disebelahku. Selepas itu, banyak cerita dan pengalaman yang dilalui oleh Cikgu bersama datuk ketua tersebut diceritakan kepada semua. Semua hanya terpukau dan mendengar dengan khusyuknya cerita-cerita tersebut. Aku hanya ternganga membuka luas mulutku kerana asyik dengan cerita-cerita Cikgu. Cikgu pun bertanya siapa nama ketua tersebut. Dia pun menjawab, "Nama saya Meor Abdul Rahman. Jadi, memang benarlah datuk saya pernah bersama-sama Tok, Mat Lela, Tok Gajah dan Dato Bahaman dahulu semasa Perang Semantan". Aku kemudian terfikir, adakah Cikguku ini yang dipanggil Mat Siam, Mat Dadu, Mat atau kadang-kadang Cikgu Mat sebenarnya adalah pahlawan Pahang yang dikenali sebagai Mat Kilau anak kepada Rasu atau Tok Gajah Imam Perang Pahang dahulu. Dalam fikiranku, sempat jua aku merasa buah tangan pahlawan atau pengkhianat negara seperti yang dimomok oleh penjajah. (12.19 petang, 01/07/2005. Cerita ini bukanlah perjalanan hidup sebenar nama-nama yang disebut di atas walaupun nama-nama tersebut adalah nama-nama orang yang wujud) |
| Leave a Comment: |